Friday 2 December 2011

Keputusan Isu Yuran Elektrik: Respon Pro-Mahasiswa UMS KK


UMS KOTA KINABALU,2 Dis 2011 (Rabu)- PRO-MAHASISWA UMS KK pada hari ini telah memberi respon kepada keputusan pihak pentadbiran Universiti berhubung isu yuran elektrik.

Berdasarkan makluman Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 2010/2011, Khalil Sabu, menerusi laman sosial Facebook, yuran elektrik yang dikenakan kepada mahasiswa akan dikurangkan daripada RM 70.00 kepada RM 35.00 pada semester ini.

Menurut speaker Pro-Mahasiswa UMS KK, Ammy Ak. Nila,(kanan)  menyatakan yuran elektrik yang dikenakan kepada mahasiswa adalah RM 35.00 bagi setiap semester bermula semester ke-2 sesi 2010/2011. 

“Pro-Mahasiswa UMS KK mengambil kesempatan menjelaskan di sini, yuran (yuran elektrik) adalah RM 35.00. Namun, yang menjadi permasalahan adalah apabila yuran yang dimaksudkan adalah tidak seperti yang dimaklumkan di banner-banner kolej kediaman. Jadi timbul sedikit kekeliruan tentang yuran tersebut.”

Pro-Mahasiswa UMS KK turut membangkitkan tentang memorandum yang diserahkan kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Kassim bin Haji Mansur berhubung isu ini.

“Berhubung isu ini, kita telah menghantar memorandum kepada pihak pentadbiran agar diambil perhatian. Kita nyatakan beberapa permasalahan yang timbul dan turut disertakan beberapa cadangan, dan beberapa kaedah pembayaran semula yang mungkin boleh digunakan. Dan Alhamdulillah, kita berterima kasih kepada yang berbahagia Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Kassim Haji Mansur, kerana kesudian beliau menerima memorandum tersebut dan mempertimbangkan cadangan di peringkat mahasiswa” ujarnya lagi.

Pihak Pro-Mahasiswa turut mencadangkan kaedah pembayaran semula yuran elektrik kepada pihak Bendahari.

“Berdasarkan perbincangan kita(Pro-Mahasiswa), kaedah pembayaran semula yang kita cadangkan adalah pihak bendahari tidak perlu mengenakan yuran elektrik RM 35.00 pada semester hadapan kepada mahasiswa yang terlibat dengan masalah caj elektrik ini. Hal ini bertujuan menggantikan yuran yang telah dikenakan pada semester 1 sesi 2010/2011. Dan kami kira, ini kaedah termudah setakat ini.”

Pihak Pro-Mahasiswa UMS KK juga meminta agar pihak Bendahari dapat memaklumkan kepada mahasiswa tentang kaedah pembayaran pada kadar segera agar mahasiswa dan mahasiswi dapat membuat persediaan awal.

“Selepas ini, kita mohon agar pihak Bendahari, dapat memaklumkan kaedah pembayaran semula agar mahasiswa dapat menilai kaedah tersebut. Pro-Mahasiswa menjadi agen semak dan imbang, check and balance demi kebaikan mahasiswa”

Monday 25 July 2011

Projek Pencarian Rumah Sewa Untuk Mahasiswa:Iklan Rumah Sewa(Fasa 1)

Rumah Sewa:
University Appartment 1:

Rumah Sewa A
Lokasi:Blok X, tingkat 1
Deposit: RM 1000.00 (2 bulan sewa+elektrik+air)
Sewa bulanan: RM 400.00
Kondisi Rumah: 3 buah bilik (1 bilik digunakan oleh tuan rumah), perabot dan kemudahan rumah lengkap
Maklumat lanjut: 0138304746 (En. Osman)

Rumah Sewa B
Lokasi:Blok U,ground floor
Deposit: RM 1500.00 (2 bulan sewa)
Sewa bulanan: RM 750.00
Kondisi Rumah:3 buah bilik, peti sejuk dan mesin basuh
Maklumat lanjut: 0168229109

Rumah Sewa C
Lokasi:
Deposit:
Sewa bulanan: 1Bilik RM 350.00
Kondisi Rumah:3 buah bilik, kemudahan lengkap, tiada mesin basuh
Maklumat lanjut: 0198092620

Taman Wangsa Maju, Sepanggar
Deposit:RM 1200.00 (2 bulan sewa)
Sewa bulanan: RM 600.00
2 tingkat, 3 bilik. Tidak ada sebarang perabot.
Maklumat lanjut:0195353968

Perhatian:
1) Kepada mahasiswa/i yang berminat diminta menghubungi sendiri pemilik rumah.
2) Pihak Pro-Mahasiswa UMS hanya membantu mahasiswa/i dalam proses PENGIKLANAN SAHAJA.
3) Pihak Pro-Mahasiswa UMS tidak bertanggungjawab dalam sebarang urusniaga selepas ini.
4) Pro-Mahasiswa UMS menasihatkan kepada mahasiswa/i bagi menghubngi pemilik rumah berkenaan bagi mendapatkan kepastian dan maklumat lanjut.
5) Pro-Mahasiswa tidak bertanggungjwab diatas segala perubahan maklumat selepas ini.
6) Info ini juga boleh didapati di blog Pro-Mahasiswa ums kk-
 www.pro-mahasiswa-umskk.blogspot.com

Sekian, terima kasih.

Pro-Mahassiswa UMS KK

"Dari Mahasiswa Untuk Mahasiswa"

Wednesday 13 July 2011

RUMAH SEWA:RUMAH SEWA: Pro-Mahasiswa Turun padang sediakan alternatif buat mahasiswa

11 Julai 2011-Bermula pada hari ini, Pro-Mahasiswa UMS KK akan mengadakan pencarian rumah sewa di sekitar kawasan Sepanggar, Kota Kinabalu. Misi pencarian rumah sewa ini adalah sebagai menyediakan satu alternatif kepada mahasiswa yang tidak mendapat kolej kediaman tetapi berkemampuan untuk menyewa rumah sekitar kawasan Sepanggar atau berhampiran UMS.Hal ini kerana, pada semester lepas, kebanyakkan mahasiswa yang tidak mendapat tempat dikolej kediaman terpaksa menginap di bilik rakan yang lain.
Bagi mencapai Misi ini, Pro-Mahasiswa telah menubuhkan jawatankuasa khas, terdiri daripada mahasiswa sendiri yang akan turun padang ke sekitar perumahan di Sepanggar dan berhampiran UMS bagi mencari alamat rumah sewa. Setakat ini , beberapa kawasan perumahan telah dikenal pasti disekitar Sepanggar.

Pihak Pro-Mahasiswa seterusnya akan menghubungi pemilik rumah tersebut bagi mengenal pasti keadaan rumah sewa tersebut, kadar sewaan, kemudahan yang disediakan dan sebagainya. Kemudian, pihak Pro-Mahasiswa akan mempamerkan iklan rumah sewa di laman sosial Facebook beserta maklumat rumah tersebut secara berfasa kepada seluruh mahasiswa.

Selain itu, pihak Pro-Mahasiswa juga akan menyebarkan iklan kepada masyarakat sekitar Sepanggar bagi mencari rumah sewa kepada mahasiswa.

Pro-Mahasiswa mengalu-alukan sebarang maklum balas berkenaan hal ini. Di harap, dengan usaha ini, dapat membantu meringankan bebas mahasiswa.

Dari Mahasiswa Untuk Mahasiswa

Sunday 19 June 2011

RM 70 Yuran Elektrik: Pro-Mahasiswa Tidak Setuju!

17 Jun 2011- Pro-Mahasiswa mewakili mahasiswa tidak bersetuju dengan yuran elektrik yang dikenakan kepada mahasiswa sebanyak RM 70.00 bagi sesi 2011/2012 seperti yang dinyatakan didalam Sistem Maklumat Pelajar (SMP) bertarikh 15 Jun 2011. Hal ini menimbulkan kekeliruan berikutan makluman kepada mahasiswa seperti yang dimaklumkan pada ‘banner’, yuran elektrik akan dipotong bermula Semester 2 Sesi akademik 2010/2011 sebanyak RM 35.00 setiap semester melalui yuran pelajar.
Kekeliruan juga timbul setelah menyemak dan mengkaji kertas kerja daripada pihak HEP yang dihantar kepada pihak Bendahari UMS menyatakan pemotongan yuran bermula pada Semester 1 sesi 2010/2011. Tetapi yang dimaklumkan kepada mahasiswa melalui ‘banner’ pemotongan bermula pada semester 2 sesi 2010/2011.
Namun, yuran RM 70.00 dikenakan kepada mahasiswa yang tinggal di kolej kediaman bagi 2 sesi akademik iaitu semester 2 sesi 2010/2011 dan Semester 1 sesi 2011/2012. Daripada sumber maklumat yang diperolehi, mahasiswa perlu menjelaskan yuran elektrik sebelum bermulanya sesi akademik semester 1 2011/2012.
Perkara ini juga tidak memenuhi apa yang dinyatakan di dalam makluman pihak Bahagian Perumahan dan Kebajikan pelajar dimana Yuran elektrik akan dipotong melalui yuran pelajar. Pihak Pro-Mahasiswa juga ingin menimbulkan persoalan bagaimana dengan pelajar-pelajar yang akan berkonvokesyen?
Bagi pelajar-pelajar yang akan berkonvokesyen, pastinya perlu menjelaskan hutang elektrik ini bagi tidak menjejaskan status konvokesyen. Untuk itu, mahasiswa-mahasiswa yang akan berkonvokesyen akan membuat pembayaran sebanyak RM 70.00 sedangkan mereka telah menamatkan pengajian pada semester 2 sesi 2010/2011.
Sekiranya dimaklumkan mereka boleh menuntut semula baki wang daripada pihak bendahari melalui wang cagaran, Pro-Mahasiswa tidak bersetuju dengan kaedah ini kerana melibatkan proses yang lebih panjang dan menyukarkan. Bukankah lebih mudah mengenakan yuran RM 35.00 sahaja sepada kesemua pelajar dengan tujuan membayar yuran elektrik semester 2 sesi 2010/2011 dan RM 35.00 dikenakan pada sesi hadapan melalui pemotongan yuran seperti yang dimaklumkan di dalam banner.
Untuk itu, pihak Pro-Mahasiswa mencadangkan beberapa kaedah penyelesaian sekiranya yuran elektrik masih dikenakan, iaitu:
1) Mengenakan yuran RM 35.00 kepada kesemua pelajar bagi semester 2 sesi 2010/2011 dan mengenakan RM 35.00 lagi yuran elektrik bagi semester 1 sesi 2011/2012 dengan cara pemotongan daripada yuran pelajar.
2) Pelajar-pelajar yang bakal berkonvokesyen menjelaskan yuran elektrik berjumlah RM 35.00 terus kepada pihak bendahari melalui kaedah ‘bank-in’ kepada pihak bendahari.

3) Menjelaskan didalam SMP tentang pembahagian yuran elektrik setiap semester. Contohnya:
Pelajar Berkonvokesyen :
Semester 2 sesi 2010/2011 RM 35.00
Selain pelajar :
Semester 2 sesi 2010/2011 RM 35.00
Semester 1 sesi 2011/2012 RM 35.00
Hal ini memudahkan pelajar mengetahui jumlah yang perlu dijelaskan.
4) Memansuhkan yuran elektrik semester lepas dan memulakan pemotongan RM 35.00 pada semester hadapan bagi memudahkan pelaksanaan sistem baru ini.
5) Sekiranya yuran elektrik RM 70.00 tetap ingin dikenakan kepada mahasiswa yang tidak berkonvokesyen, pihak kami menyarankan agar ia dipotong terus daripada yuran pelajar pada semester 1 sesi 2011/2012.
6) Sekiranya terdapat mahasiswa yang telah dipotong yuran elektrik sebanyak RM 70.00 daripada baki yuran yang lepas atau bantuan kewangan dan sebagainya, Pro-Mahasiswa menyarankan pihak bendahari memotong sejumlah RM 35.00 sahaja manakala selebihnya dikembalikan kedalam akaun pelajar.
Kesimpulannya, Pro-Mahasiswa berharap agar pihak pentadbiran dapat mempertimbangkan cadangan penyelesaian ini demi kebajikan mahasiswa dan setersunya menyelesaikan masalah ini secepat mungkin. Pro-Mahasiswa juga menyarankan agar kajian terperinci perlu dilakukan dari aspek masa pelaksanaan yang paling sesuai dan kaedah terbaik dalam melaksanakan sistem ini agar tidak berlaku kekeliruan samada diperingkat pentadbiran mahupun mahasiswa terutamanya.
-MAHASISWA CINTAKAN UMS-

Tuesday 14 June 2011

Salah Tanggapan Terhadap Pro-Mahasiswa

Pro-Mahasiswa, sering di salah anggap oleh pihak-pihak yang tidak sehaluan dengan Pro-Mahasiswa. Salah tanggapan ini dianggap berpunca daripada kurangnya pengetahuan tentang Pro-Mahasiswa. Akhirnya lahirlah tanggapan atau persepsi yang dibuat-buat demi kepentingan individu atau kumpulan tertentu sambil dihiasi dengan kata-kata indah dengan hujah-hujah yang salah. Persepsi yang sering timbul berkenaan Pro-Mahasiswa tidak lain adalah dengan istilah kumpulan pembangkang, penentang HEP, lawan kepada Aspirasi dan sebagainya. Malah lebih teruk lagi dikaitkan dengan parti-parti di luar kampus.

Benarkah 'kumplan pembangkang'?

Pro-Mahasiswa bersifat 'check and balance' dalam isu-isu kampus, nasional malah internasional. Profesionalisme dalam mengendalikan isu sering disalah anggap oleh pihak tertentu. Pro-Mahasiswa sering tampil dalam mengemukakan isu semasa samada dalam lapangan mahasiswa sendiri, isu sejagat, politik, agama, sosial dan sebagainya. Dan mengemukakan pendirian Pro-Mahasiswa dalam isu-isu tersebut.

Dalam hal ini,Pro-Mahasiswa ingin mengajak para mahasiswa membawa perubahan dalam segenap kehidupan sebagai mahasiswa.Mahasiswa tidak boleh hanya tertumpu pada pelajaran tanpa penglibatan aktiviti luar, tidak peka isu semasa dan tidak mahu tampil dalam isu-isu masyarakat. Pelajaran adalah prioriti dalam diri mahasiswa tetapi perlu diingat mahasiswa juga bertanggngjawab terhapap masyarakat.

Mahasiswa adalah suara kepada masyarakat. Individu yang paling dipercayai kerana kemampuan intelektualnya dalam masyarakat adalah mahasiswa. Mahasiswa dipandang tinggi oleh masyarakat dek kerana mereka tampil membela nasib masyarakat yang tertindas atau bersenang lenang, menyampaikan kepada pentadbiran negara walaupun mahasiswa tahu dia bukan siapa-siapa, tapi cukuplah sekadar dia memberitahu kepada pemerintah rakyatnya bermasalah atau rakyatnya berpuas hati.

Namun, ini sering disalah anggap. Bila mana mahasiswa bercerita soal harga minyak, kenaikkan tarif elektrik, penindasan dan kemiskinan, mereka disalah anggap, dilabel terlibat dengan politik bahkan dianggap sebagai pembangkang! Dimana keadailan 'mereka' dalam menilai mahasiswa!

Rakyat memerlukan mahasiswa bagi bersuara, bukan hanya turun di masyarakat dan membuat program, menyampaikan sumbangan dan bertanya khabar, itu cuma sebahagian, tetapi yang lebih penting masyarakat mahu suara hati mereka disampaikan kepada pemerintah. Dan pemerintah seharusnya menerima suara mahasiswa dengan terbuka.

Sekiranya tanggapan tersebut adalah melibatkan parti politik samada dipihak pembangkang mahupun kerajaan, eloklah ia diperbetulkan. Pro-Mahasiswa mewakili mahasiswa sebagai 'kelompok ketiga' dalam heraki kebiasaan dalam masyarakat (1. Ahli politik, 2. Rakyat dan 3. Mahasiswa) yang tidak menyebelahi mana-mana parti, tetapi pihak rakyat.

Untuk itu mahasiswa perlu menyampaikan maklumat kepada kerajaan yang memerintah. Itulahh sebanya kadang-kadang mahasiswa ada yang turun ke jalanan, kerana suara mereka kurang diambil perhatian setelah beberapa kali menyuarakan perkara yang sama.

Penentang HEP?

Jauh sekali tanggapan ini daripada pengertian sebenar dan tujuan Pro-Mahasiswa. Pro-Mahasiswa bukanlah musuh, bukanlah penentang, atau sentiasa beranggapan Hal Ehwal Pelajar (HEP) salah. Itu tidak benar. Kami menyedari akan kedudukan Pentadbiran universiti dan kuasa yang ada pada pentadbiran universiti. Tetapi Pro-Mahasiswa bertindak dalam menyuarakan pandangan mahasiswa, ketidak puasan hati mahasiswa dan rasa hormat mahasiswa pada pihak HEP. Dan kalau boleh mahu bersama-sama pihak pentadbiran mencorakkan hala tuju pentadbiran universiti. Atas sebab itu, Pro-Mahasiswa menyokong 'Perwakilan Mahasiswa' dalam MPP. Namun, akibat salah tanggapan ini, peluang dan ruang dihadkan. Akan tetapi mahasiswa tetap yakin suaranya masih 'kedengaran'.

Dalam hal berkaitan HEP, Pro-Mahasiswa bertindak sebagai medium suara dan rundingan daripada mahasiswa kepada pihak HEP. Sekiranya pihak HEP melaksanakan polisi terhadap mahasiswa dan dilihat membebankan mahasiswa, Pro-Mahasiswa bersama-sama mahasiswa menyuarakan perkara tersebut dan mencari jalan penyelesaian terbaik daripada mahasiswa kepada pihak pentadbiran. Begitu juga sekiranya HEP melaksanakan sesuatu yang baik dan mandatangkan kebaikan pada universiti dan mahasiswa, pro-mahasiswa akan bersama-sama mahasiswa membantu universiti dan bekerjasama dengan pihak universiti. Demikian juga sekiranya mahasiswa tidak bertindak sewajarnya dan mencemarkan imej universiti, Pro-mahasiswa akan menegur mahasiswa.

Profesionalisme begini yang dianjurkan oleh Pro-Mahasiswa kepada mahasiswa dan pihak universiti dan kami yakin hal ini akan menguntungkan semua pihak.Untuk itu, Mahasiswa tidak boleh hanya diam atau 'cakap belakang' dalam hal-hal yang melibatkan mahasiswa dan masyarakat, sebaliknya perlu memberi respon agar pentadbiran tahu samada sesuatu itu memberikan impak positif atau tidak. Itulah perubahan yang ingin dibawa dalam mahasiswa.

Kesimpulan

Apapun tanggapan terhadap Pro-Mahasiswa terpulang kepada individu, di pihak Pro-Mahasiswa sedia menjelaskan demi kebaikkan mahasiswa. Pro-Mahasiswa adalah idealisme dari mahasiswa untuk mahasiswa. Atas rasa cinta pada universiti, Pro-Mahasiswa membawa perubahan kepada cara hidup mahasiswa yang biasa dan lesu kepada cara hidup mahasiswa yang responsif, demokratik dan bermoral.

Pro-Mahasiswa mengimpikan satu universiti dengan mahasiswanya yang dipandang tinggi oleh masyarakat, bukan hanya kerana pencapaian universiti semata-mata malahan kehebatan mahasiswa dalam menyuarakan pandangan masyarakat berkenaan isu sejagat. Kami yakin dengan kemampuan mahasiswa dan mahasiswa berhak mendapat tempatnya dimata masyarakat.

BUAT MAHASISWA TERCINTA...MAHASISWA BANGKIT!!

Sunday 5 June 2011

PEMILIHAN KOLEJ KEDIAMAN PERLU TELUS:PRO-MAHASISWA

3 Jun 2011-Keputusan Permohonan bagi Kolej Kediaman telah dikeluarkan oleh pihak universiti. Pro-mahasiswa mengharapkan pihak pentadbiran universiti telah mengadakan pemilihan secara telus dan memberi ruang kepada mahasiswa yang layak dan memenuhi kriteria mendapat kolej kediaman.

Bagi mahasiswa yang tidak mendapat kolej, Pro-Mahssiwa menyarankan agar ruang permohonan dibuka kepada mahasiswa ini dengan megadakan penilaian semula kepada mahasiswa terbabit dan tidak mengenakan sebarang syarat kepada mahasiswa terbabit.

Begitu juga dengan keputusan pemilihan kepada mahasiswa yang tidak mendapat kolej tadi dapat dikeluarkan dengan cepat agar tidak ada lagi mahasiswa yang tinggal dibilik rakan.

PRO-MAHASISWA UMS SERU MAHASISWA SOKONG PENDIRIAN PEMUDA PAS-UMNO:ISU VIDEO

2 Jun 2011, Khamis- Pro-Mahasiswa UMS menyeru kepada seluruh mahasiswa menyokong pendirian Pemuda Pas-Umno yang menolak budaya politik fitnah, termasuk juga video seks yang melibatkan Dato Seri Anwar Ibrahim. Ketua Pemuda BN, Saudara Khairy,Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasarudin dan bekas Mufti Perlis, Prof. Madya Dr. Asri Zainul Abidin hadir dalam satu forum bertajuk "Fitnah: Ancaman Umat Akhir Zaman". Dan ketiga-tiga panel sebulat suara menolak budaya politik yang mengaibkan individu-individu tertentu dalam politik.

Justeru, Pro-Mahasiswa UMS menyokong pendirian Pemuda PAS-Umno yang menolak budaya politik sedemikian dan mengajak seluruh mahasiswa di Malaysia bersama-sama Pro-Mahasiswa menolak budaya politik fitnah dan mengaibkan ini. Pro-Mahasiswa berpandangan, sekiranya politik fitnah dan mengaibkan ini berterusan, budaya ini mampu menjadi ikutan mahasiswa di kampus. Politik kampus akan mula dicemari budaya fitnah ini sekiranya tidak dibendung dengan lebih awal.

"Kita tidak mahu politik kotor dan mengaibkan ini menjadi satu budaya di kampus. Apatah lagi di kampus seperti UMS. Secara amnya mahasiswa UMS tidak gemar dengan sentimen politik fitnah ini. Kami mahukan politik yang bersih dn adil"

Pro-Mahasiswa UMS juga menasihatkan mana-mana ahli politik agar tidak menggunakan isu-isu peribadi untuk dijadikan sasaran bahan politik fitnah dan mengaibkan. Pro-Mahasiswa secara tegas dan berani menolak budaya politik fitnah dan mengaibkan.