Friday 2 December 2011

Keputusan Isu Yuran Elektrik: Respon Pro-Mahasiswa UMS KK


UMS KOTA KINABALU,2 Dis 2011 (Rabu)- PRO-MAHASISWA UMS KK pada hari ini telah memberi respon kepada keputusan pihak pentadbiran Universiti berhubung isu yuran elektrik.

Berdasarkan makluman Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 2010/2011, Khalil Sabu, menerusi laman sosial Facebook, yuran elektrik yang dikenakan kepada mahasiswa akan dikurangkan daripada RM 70.00 kepada RM 35.00 pada semester ini.

Menurut speaker Pro-Mahasiswa UMS KK, Ammy Ak. Nila,(kanan)  menyatakan yuran elektrik yang dikenakan kepada mahasiswa adalah RM 35.00 bagi setiap semester bermula semester ke-2 sesi 2010/2011. 

“Pro-Mahasiswa UMS KK mengambil kesempatan menjelaskan di sini, yuran (yuran elektrik) adalah RM 35.00. Namun, yang menjadi permasalahan adalah apabila yuran yang dimaksudkan adalah tidak seperti yang dimaklumkan di banner-banner kolej kediaman. Jadi timbul sedikit kekeliruan tentang yuran tersebut.”

Pro-Mahasiswa UMS KK turut membangkitkan tentang memorandum yang diserahkan kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Kassim bin Haji Mansur berhubung isu ini.

“Berhubung isu ini, kita telah menghantar memorandum kepada pihak pentadbiran agar diambil perhatian. Kita nyatakan beberapa permasalahan yang timbul dan turut disertakan beberapa cadangan, dan beberapa kaedah pembayaran semula yang mungkin boleh digunakan. Dan Alhamdulillah, kita berterima kasih kepada yang berbahagia Prof. Madya Dato’ Dr. Haji Kassim Haji Mansur, kerana kesudian beliau menerima memorandum tersebut dan mempertimbangkan cadangan di peringkat mahasiswa” ujarnya lagi.

Pihak Pro-Mahasiswa turut mencadangkan kaedah pembayaran semula yuran elektrik kepada pihak Bendahari.

“Berdasarkan perbincangan kita(Pro-Mahasiswa), kaedah pembayaran semula yang kita cadangkan adalah pihak bendahari tidak perlu mengenakan yuran elektrik RM 35.00 pada semester hadapan kepada mahasiswa yang terlibat dengan masalah caj elektrik ini. Hal ini bertujuan menggantikan yuran yang telah dikenakan pada semester 1 sesi 2010/2011. Dan kami kira, ini kaedah termudah setakat ini.”

Pihak Pro-Mahasiswa UMS KK juga meminta agar pihak Bendahari dapat memaklumkan kepada mahasiswa tentang kaedah pembayaran pada kadar segera agar mahasiswa dan mahasiswi dapat membuat persediaan awal.

“Selepas ini, kita mohon agar pihak Bendahari, dapat memaklumkan kaedah pembayaran semula agar mahasiswa dapat menilai kaedah tersebut. Pro-Mahasiswa menjadi agen semak dan imbang, check and balance demi kebaikan mahasiswa”