Sunday 19 June 2011

RM 70 Yuran Elektrik: Pro-Mahasiswa Tidak Setuju!

17 Jun 2011- Pro-Mahasiswa mewakili mahasiswa tidak bersetuju dengan yuran elektrik yang dikenakan kepada mahasiswa sebanyak RM 70.00 bagi sesi 2011/2012 seperti yang dinyatakan didalam Sistem Maklumat Pelajar (SMP) bertarikh 15 Jun 2011. Hal ini menimbulkan kekeliruan berikutan makluman kepada mahasiswa seperti yang dimaklumkan pada ‘banner’, yuran elektrik akan dipotong bermula Semester 2 Sesi akademik 2010/2011 sebanyak RM 35.00 setiap semester melalui yuran pelajar.
Kekeliruan juga timbul setelah menyemak dan mengkaji kertas kerja daripada pihak HEP yang dihantar kepada pihak Bendahari UMS menyatakan pemotongan yuran bermula pada Semester 1 sesi 2010/2011. Tetapi yang dimaklumkan kepada mahasiswa melalui ‘banner’ pemotongan bermula pada semester 2 sesi 2010/2011.
Namun, yuran RM 70.00 dikenakan kepada mahasiswa yang tinggal di kolej kediaman bagi 2 sesi akademik iaitu semester 2 sesi 2010/2011 dan Semester 1 sesi 2011/2012. Daripada sumber maklumat yang diperolehi, mahasiswa perlu menjelaskan yuran elektrik sebelum bermulanya sesi akademik semester 1 2011/2012.
Perkara ini juga tidak memenuhi apa yang dinyatakan di dalam makluman pihak Bahagian Perumahan dan Kebajikan pelajar dimana Yuran elektrik akan dipotong melalui yuran pelajar. Pihak Pro-Mahasiswa juga ingin menimbulkan persoalan bagaimana dengan pelajar-pelajar yang akan berkonvokesyen?
Bagi pelajar-pelajar yang akan berkonvokesyen, pastinya perlu menjelaskan hutang elektrik ini bagi tidak menjejaskan status konvokesyen. Untuk itu, mahasiswa-mahasiswa yang akan berkonvokesyen akan membuat pembayaran sebanyak RM 70.00 sedangkan mereka telah menamatkan pengajian pada semester 2 sesi 2010/2011.
Sekiranya dimaklumkan mereka boleh menuntut semula baki wang daripada pihak bendahari melalui wang cagaran, Pro-Mahasiswa tidak bersetuju dengan kaedah ini kerana melibatkan proses yang lebih panjang dan menyukarkan. Bukankah lebih mudah mengenakan yuran RM 35.00 sahaja sepada kesemua pelajar dengan tujuan membayar yuran elektrik semester 2 sesi 2010/2011 dan RM 35.00 dikenakan pada sesi hadapan melalui pemotongan yuran seperti yang dimaklumkan di dalam banner.
Untuk itu, pihak Pro-Mahasiswa mencadangkan beberapa kaedah penyelesaian sekiranya yuran elektrik masih dikenakan, iaitu:
1) Mengenakan yuran RM 35.00 kepada kesemua pelajar bagi semester 2 sesi 2010/2011 dan mengenakan RM 35.00 lagi yuran elektrik bagi semester 1 sesi 2011/2012 dengan cara pemotongan daripada yuran pelajar.
2) Pelajar-pelajar yang bakal berkonvokesyen menjelaskan yuran elektrik berjumlah RM 35.00 terus kepada pihak bendahari melalui kaedah ‘bank-in’ kepada pihak bendahari.

3) Menjelaskan didalam SMP tentang pembahagian yuran elektrik setiap semester. Contohnya:
Pelajar Berkonvokesyen :
Semester 2 sesi 2010/2011 RM 35.00
Selain pelajar :
Semester 2 sesi 2010/2011 RM 35.00
Semester 1 sesi 2011/2012 RM 35.00
Hal ini memudahkan pelajar mengetahui jumlah yang perlu dijelaskan.
4) Memansuhkan yuran elektrik semester lepas dan memulakan pemotongan RM 35.00 pada semester hadapan bagi memudahkan pelaksanaan sistem baru ini.
5) Sekiranya yuran elektrik RM 70.00 tetap ingin dikenakan kepada mahasiswa yang tidak berkonvokesyen, pihak kami menyarankan agar ia dipotong terus daripada yuran pelajar pada semester 1 sesi 2011/2012.
6) Sekiranya terdapat mahasiswa yang telah dipotong yuran elektrik sebanyak RM 70.00 daripada baki yuran yang lepas atau bantuan kewangan dan sebagainya, Pro-Mahasiswa menyarankan pihak bendahari memotong sejumlah RM 35.00 sahaja manakala selebihnya dikembalikan kedalam akaun pelajar.
Kesimpulannya, Pro-Mahasiswa berharap agar pihak pentadbiran dapat mempertimbangkan cadangan penyelesaian ini demi kebajikan mahasiswa dan setersunya menyelesaikan masalah ini secepat mungkin. Pro-Mahasiswa juga menyarankan agar kajian terperinci perlu dilakukan dari aspek masa pelaksanaan yang paling sesuai dan kaedah terbaik dalam melaksanakan sistem ini agar tidak berlaku kekeliruan samada diperingkat pentadbiran mahupun mahasiswa terutamanya.
-MAHASISWA CINTAKAN UMS-

Tuesday 14 June 2011

Salah Tanggapan Terhadap Pro-Mahasiswa

Pro-Mahasiswa, sering di salah anggap oleh pihak-pihak yang tidak sehaluan dengan Pro-Mahasiswa. Salah tanggapan ini dianggap berpunca daripada kurangnya pengetahuan tentang Pro-Mahasiswa. Akhirnya lahirlah tanggapan atau persepsi yang dibuat-buat demi kepentingan individu atau kumpulan tertentu sambil dihiasi dengan kata-kata indah dengan hujah-hujah yang salah. Persepsi yang sering timbul berkenaan Pro-Mahasiswa tidak lain adalah dengan istilah kumpulan pembangkang, penentang HEP, lawan kepada Aspirasi dan sebagainya. Malah lebih teruk lagi dikaitkan dengan parti-parti di luar kampus.

Benarkah 'kumplan pembangkang'?

Pro-Mahasiswa bersifat 'check and balance' dalam isu-isu kampus, nasional malah internasional. Profesionalisme dalam mengendalikan isu sering disalah anggap oleh pihak tertentu. Pro-Mahasiswa sering tampil dalam mengemukakan isu semasa samada dalam lapangan mahasiswa sendiri, isu sejagat, politik, agama, sosial dan sebagainya. Dan mengemukakan pendirian Pro-Mahasiswa dalam isu-isu tersebut.

Dalam hal ini,Pro-Mahasiswa ingin mengajak para mahasiswa membawa perubahan dalam segenap kehidupan sebagai mahasiswa.Mahasiswa tidak boleh hanya tertumpu pada pelajaran tanpa penglibatan aktiviti luar, tidak peka isu semasa dan tidak mahu tampil dalam isu-isu masyarakat. Pelajaran adalah prioriti dalam diri mahasiswa tetapi perlu diingat mahasiswa juga bertanggngjawab terhapap masyarakat.

Mahasiswa adalah suara kepada masyarakat. Individu yang paling dipercayai kerana kemampuan intelektualnya dalam masyarakat adalah mahasiswa. Mahasiswa dipandang tinggi oleh masyarakat dek kerana mereka tampil membela nasib masyarakat yang tertindas atau bersenang lenang, menyampaikan kepada pentadbiran negara walaupun mahasiswa tahu dia bukan siapa-siapa, tapi cukuplah sekadar dia memberitahu kepada pemerintah rakyatnya bermasalah atau rakyatnya berpuas hati.

Namun, ini sering disalah anggap. Bila mana mahasiswa bercerita soal harga minyak, kenaikkan tarif elektrik, penindasan dan kemiskinan, mereka disalah anggap, dilabel terlibat dengan politik bahkan dianggap sebagai pembangkang! Dimana keadailan 'mereka' dalam menilai mahasiswa!

Rakyat memerlukan mahasiswa bagi bersuara, bukan hanya turun di masyarakat dan membuat program, menyampaikan sumbangan dan bertanya khabar, itu cuma sebahagian, tetapi yang lebih penting masyarakat mahu suara hati mereka disampaikan kepada pemerintah. Dan pemerintah seharusnya menerima suara mahasiswa dengan terbuka.

Sekiranya tanggapan tersebut adalah melibatkan parti politik samada dipihak pembangkang mahupun kerajaan, eloklah ia diperbetulkan. Pro-Mahasiswa mewakili mahasiswa sebagai 'kelompok ketiga' dalam heraki kebiasaan dalam masyarakat (1. Ahli politik, 2. Rakyat dan 3. Mahasiswa) yang tidak menyebelahi mana-mana parti, tetapi pihak rakyat.

Untuk itu mahasiswa perlu menyampaikan maklumat kepada kerajaan yang memerintah. Itulahh sebanya kadang-kadang mahasiswa ada yang turun ke jalanan, kerana suara mereka kurang diambil perhatian setelah beberapa kali menyuarakan perkara yang sama.

Penentang HEP?

Jauh sekali tanggapan ini daripada pengertian sebenar dan tujuan Pro-Mahasiswa. Pro-Mahasiswa bukanlah musuh, bukanlah penentang, atau sentiasa beranggapan Hal Ehwal Pelajar (HEP) salah. Itu tidak benar. Kami menyedari akan kedudukan Pentadbiran universiti dan kuasa yang ada pada pentadbiran universiti. Tetapi Pro-Mahasiswa bertindak dalam menyuarakan pandangan mahasiswa, ketidak puasan hati mahasiswa dan rasa hormat mahasiswa pada pihak HEP. Dan kalau boleh mahu bersama-sama pihak pentadbiran mencorakkan hala tuju pentadbiran universiti. Atas sebab itu, Pro-Mahasiswa menyokong 'Perwakilan Mahasiswa' dalam MPP. Namun, akibat salah tanggapan ini, peluang dan ruang dihadkan. Akan tetapi mahasiswa tetap yakin suaranya masih 'kedengaran'.

Dalam hal berkaitan HEP, Pro-Mahasiswa bertindak sebagai medium suara dan rundingan daripada mahasiswa kepada pihak HEP. Sekiranya pihak HEP melaksanakan polisi terhadap mahasiswa dan dilihat membebankan mahasiswa, Pro-Mahasiswa bersama-sama mahasiswa menyuarakan perkara tersebut dan mencari jalan penyelesaian terbaik daripada mahasiswa kepada pihak pentadbiran. Begitu juga sekiranya HEP melaksanakan sesuatu yang baik dan mandatangkan kebaikan pada universiti dan mahasiswa, pro-mahasiswa akan bersama-sama mahasiswa membantu universiti dan bekerjasama dengan pihak universiti. Demikian juga sekiranya mahasiswa tidak bertindak sewajarnya dan mencemarkan imej universiti, Pro-mahasiswa akan menegur mahasiswa.

Profesionalisme begini yang dianjurkan oleh Pro-Mahasiswa kepada mahasiswa dan pihak universiti dan kami yakin hal ini akan menguntungkan semua pihak.Untuk itu, Mahasiswa tidak boleh hanya diam atau 'cakap belakang' dalam hal-hal yang melibatkan mahasiswa dan masyarakat, sebaliknya perlu memberi respon agar pentadbiran tahu samada sesuatu itu memberikan impak positif atau tidak. Itulah perubahan yang ingin dibawa dalam mahasiswa.

Kesimpulan

Apapun tanggapan terhadap Pro-Mahasiswa terpulang kepada individu, di pihak Pro-Mahasiswa sedia menjelaskan demi kebaikkan mahasiswa. Pro-Mahasiswa adalah idealisme dari mahasiswa untuk mahasiswa. Atas rasa cinta pada universiti, Pro-Mahasiswa membawa perubahan kepada cara hidup mahasiswa yang biasa dan lesu kepada cara hidup mahasiswa yang responsif, demokratik dan bermoral.

Pro-Mahasiswa mengimpikan satu universiti dengan mahasiswanya yang dipandang tinggi oleh masyarakat, bukan hanya kerana pencapaian universiti semata-mata malahan kehebatan mahasiswa dalam menyuarakan pandangan masyarakat berkenaan isu sejagat. Kami yakin dengan kemampuan mahasiswa dan mahasiswa berhak mendapat tempatnya dimata masyarakat.

BUAT MAHASISWA TERCINTA...MAHASISWA BANGKIT!!

Sunday 5 June 2011

PEMILIHAN KOLEJ KEDIAMAN PERLU TELUS:PRO-MAHASISWA

3 Jun 2011-Keputusan Permohonan bagi Kolej Kediaman telah dikeluarkan oleh pihak universiti. Pro-mahasiswa mengharapkan pihak pentadbiran universiti telah mengadakan pemilihan secara telus dan memberi ruang kepada mahasiswa yang layak dan memenuhi kriteria mendapat kolej kediaman.

Bagi mahasiswa yang tidak mendapat kolej, Pro-Mahssiwa menyarankan agar ruang permohonan dibuka kepada mahasiswa ini dengan megadakan penilaian semula kepada mahasiswa terbabit dan tidak mengenakan sebarang syarat kepada mahasiswa terbabit.

Begitu juga dengan keputusan pemilihan kepada mahasiswa yang tidak mendapat kolej tadi dapat dikeluarkan dengan cepat agar tidak ada lagi mahasiswa yang tinggal dibilik rakan.

PRO-MAHASISWA UMS SERU MAHASISWA SOKONG PENDIRIAN PEMUDA PAS-UMNO:ISU VIDEO

2 Jun 2011, Khamis- Pro-Mahasiswa UMS menyeru kepada seluruh mahasiswa menyokong pendirian Pemuda Pas-Umno yang menolak budaya politik fitnah, termasuk juga video seks yang melibatkan Dato Seri Anwar Ibrahim. Ketua Pemuda BN, Saudara Khairy,Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasarudin dan bekas Mufti Perlis, Prof. Madya Dr. Asri Zainul Abidin hadir dalam satu forum bertajuk "Fitnah: Ancaman Umat Akhir Zaman". Dan ketiga-tiga panel sebulat suara menolak budaya politik yang mengaibkan individu-individu tertentu dalam politik.

Justeru, Pro-Mahasiswa UMS menyokong pendirian Pemuda PAS-Umno yang menolak budaya politik sedemikian dan mengajak seluruh mahasiswa di Malaysia bersama-sama Pro-Mahasiswa menolak budaya politik fitnah dan mengaibkan ini. Pro-Mahasiswa berpandangan, sekiranya politik fitnah dan mengaibkan ini berterusan, budaya ini mampu menjadi ikutan mahasiswa di kampus. Politik kampus akan mula dicemari budaya fitnah ini sekiranya tidak dibendung dengan lebih awal.

"Kita tidak mahu politik kotor dan mengaibkan ini menjadi satu budaya di kampus. Apatah lagi di kampus seperti UMS. Secara amnya mahasiswa UMS tidak gemar dengan sentimen politik fitnah ini. Kami mahukan politik yang bersih dn adil"

Pro-Mahasiswa UMS juga menasihatkan mana-mana ahli politik agar tidak menggunakan isu-isu peribadi untuk dijadikan sasaran bahan politik fitnah dan mengaibkan. Pro-Mahasiswa secara tegas dan berani menolak budaya politik fitnah dan mengaibkan.